بسم الله الرحمن الرحيم
"Mama mia!Why are you wearing like this?Don't you know its a beach.Why are you wearing so close like this?"
Dia menyoalku dalam Bahasa Inggeris dengan tergagap-gagap dan suara yang tinggi.Aku tidak menyangka keputusan untuk bersiar-siar di pantai Monterosso iaitu salah satu pantai
Cinque Terre ini telah membuatkan aku diaju dengan soalan sebegini.Memang satu perkara yang pelik melihat seorang perempuan berpakaian labuh dan menutup segalanya di pantai seperti ini dengan musim panas yang hampir tiba jika hendak dibandingkan dengan wanita-wanita yang sedang berjemur di situ.
Aku sedikit terpana.Mata ini hanya memandang lelaki Italy itu.
Mulut hampir bersuara ' This our obligation in our religion'.
Ingin menerangkan kepada mereka apakah tuntutan dalam agama kami,Islam.Ingin memahamkan mereka kewajiban kami bukanlah terhad kepada tempat tertentu sahaja.
Tetapi aku telah tertinggal jauh dari Cik Na aku.Aku takut dia akan tercari-cari aku lalu senyum ditarik buat lelaki tersebut sambil kaki dilangkah menuju ke arah Cik Na.
Tujuan tadi kerana ingin mengambil sekeping gambar pokok dihadapanku untuk diabadikan di dalam kamera ini.Aku yang baru selesai menangkap gambar pokok itu tiba-tiba dikejutkan dengan soalan lelaki ini yang baru sahaja keluar dari keretanya di parking sebelahku itu.
peristiwa itu berlaku.
Perasaan menyesal hadir sebaik sahaja kakiku melangkah meninggalkan dia.Aku telah terlepas satu peluang yang sangat besar untuk memahamkan mereka apa itu Islam yang sering dianggap satu agama tertutup dan menyekat kebebasan umatnya.
Pada hari sebelumnya aku melangkah ke Monterosso iaitu di Pisa, aku juga disoal tentang pemakaian aku terutama hijab dikepala aku.
"Pourquoi(Why)?" tanyanya sambil mengarahkan jarinya ke arah kepalanya.Aku faham dia memaksudkan tudung di kepala aku.
Dengan keadaan bahasa perancisku ditahap asas lagi ini, aku hanya mampu menjawab
" Obligation."
" L'obligation à religion (Obligation of religion) ?"
" Oui (Yes)." Aku menjawab sambil tersenyum.Lelaki tua itu hanya terangguk-angguk dan bertukar kepada tajuk lain.
Aku tidak mampu untuk menerangkan kepadanya dengan perantaraan bahasaku yang lemah.
Soalan inilah yang selalu berputar didalam fikiran mereka yang tidak memahami dan mengkaji apakah itu Islam dan mengganggap Islam adalah agama ketinggalan zaman dan menyekat kebebasan umatnya terutama wanita.
Peristiwa demi peristiwa yang dialami oleh diriku ini membuatkan aku terfikir.Inilah hakikat apabila kita keluar ke dunia luar.Inilah FAQ yang akan dilontarkan kepada kita terutama kaum hawa yang paling menyerlah ciri-ciri keislamannya.
Bukanlah sesuatu yang asing jika non-muslim memandang jelek kepada pemakaian seorang muslim itu tetapi menjadi sesuatu yang amat pelik apabila seorang muslim itu menghina pemakaian saudaranya sendiri.
Seorang muslim yang terkesan dari penjajahan pemikiran daripada barat samada media masa atau majalah-majalah membuatkan mereka lebih cenderung mendidik diri ke arah kebaratan dari ke arah seorang muslim mukmin soleh.
"Kenapa kita lebih gembira dikatakan seorang yang rock daripada dikatakan seorang yang warak?Sebenarnya inilah salah satu kesan dari penjajahan pemikiran yang dibawa oleh barat.Kenapa kita tidak suka dikatakan warak sedangkan itu adalah tanda kita ialah seorang yang taat kepada Allah?Kita tidak kufur,kita solat,kita puasa.Adakah menjadi seorang yang lalai itu lebih membanggakan dari ketaatan kepada Allah?"
Kata-kata sahabat seperjuanganku di dalam tazkirahnya di 'flashback'.Ya, aku setuju dengan kata-katanya.Kita lebih suka digelar orang yang gila-gila,rock dan lain-lain tetapi kita menjadi anti bila dikatakan warak.Berbahagialah kamu dengan ucapan itu kerana itu adalah satu doa buat dirimu yang membawamu ke arah jalan yang lebih lurus.
Di Morocco, hanya terdapat pelajar pengkhususan Pengajian Islam dan Pengajian Bahasa Arab.Pemakaian kami dengan bertudung labuh disini membuatkan kami lebih dihormati oleh sebahagian besar kaum masyarakat disini.Satu biah(suasana) yang positif.Kami gembira dengan cara pemakaian kami yang dituntut Islam ini sehingga satu saat kami terasa takut untuk menghadapi suasana di Malaysia.Di sana,puratanya memandang jelek atau 'not up to date' dengan pemakaian kami.
Walaupun begitu, kami pernah disoal oleh seorang pemandu teksi di sini.Memandangkan suasana yang amat panas sekarang, dia pelik dengan pemakaian kami.
"Kamu tak panas?"
"Panas", kami menjawab pendek.
"Kenapa kamu pakai tudung besar macam tu.Kamu botak ke?" Soalnya dengan nada bergurau.
"Kami menutup aurat.Ini tuntutan dalam Islam.Maktub dalam Al-Quran", kami cuba menjawab dengan tenang walaupun hakikatnya kami tidak senang dengan gurauannya.
"Tapi bukan sunnah pun." Kami menggelengkan kepala dengan kejahilannya.
"Tak.Ada hadis yang menuntut supaya menutup aurat." Kami cuba mempertahankan kebenaran ini dan akhirnya dia mengalah apabila kami sampai ke destinasi kami.
Semoga Allah memberikan hidayah kepadanya.
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." [Surah An-Nur:31}
Sabda Rasullulah (S.A.W):
(يا أسمأ, ان الامرأة اذا بلغت المحيض, لم يصلح أن يرى منها الا هذا وهذا, وأشار الى وجهه وكفيه)
Maksudnya:( Wahai Asma' Sesungguhnya apabila seseorang perempuan telah baligh, Tidak boleh diperlihatkan kecuali ini dan ini. Sambil mengisyaratkan kearah muka dan tapak tangan.)
Terdapat satu kisah yang diceritakan oleh sahabatku dimana seorang remaja yang telah mendapat hidayah untuk memakai hijab tetapi banyak cabaran yang harus dia tempuhi.Ibunya yang tidak memberikan sokongan malah tidak percaya dia mampu bertahan dengan imej bertudung.Rakan-rakan yang menjauhi.
"Kenapa awak bertudung?Adakah awak telah berzina dan memakai tudung untuk bertaubat?"
Soalan rakan-rakan yang tidak mengerti apa maknanya menutup aurat.
Semoga dia sabar menghadapi ujian ini dan Allah mempermudahkan jalannya ke arah kebenaran.
Kisah realiti hidup yang sedang dimainkan wataknya oleh manusia di pentas dunia ini.
Islam akar Rohani, Rasional siraman Fikrah, Ketenangan baja Kekuatan
mizyan la tulisan ni..
ReplyDeletemungkin boleh dikongsi di medium yg lebih luas..
teruskan menulis..
barakallahufiik=)