Wednesday 19 May 2010

Bercinta kerana Allah

بسم الله الرحمن الرحيم

** Sambungan
Di Sebalik Doa Rabitah


اللهم اِنّكَ تَعْلَم اَنّ هَذِهِ القُلُوبَ

Ya Allah. sesungguhnya kamu mengetahui bahawa hati-hati ini

قَدِ اجْتَمَعَتْ عَلَى مَحَبَّتِكَ

Telah bersatu kerana cintaMu

Mencintai Allah adalah perkara yang dituntut di dalam Islam.Kita berhidup selalu tercari-cari alasan, sebab musabab atas setiap perkara yang kita perlu lakukan.Apabila diketengahkan persoalan : " Mengapa aku perlu mencintai Allah?"

Jawapannya amat mudah : " Kerana Allah yang menciptakan kita."

Tetapi sejauh mana kita menghayati sebaris ayat ini?

Dekatilah cermin rumah anda dan tiliklah diri anda.Sedarkah kita bahawa kita adalah 'the most miracle creation' yang wujud di alam ini.Mempunyai 5 pancaindera, bisa menulis dan berjalan.Dapat memalingkan wajah lebih hebat daripada engsel pintu yang tidak perlu dicat untuk mengelakkan pengkaratan.

Tetapi sejauh mana kita bersyukur.

Cara untuk kita bersyukur bukanlah setakat mengucapkan Alhamdulillah malah ia lebih daripada itu.

Kita bersyukur dengan membalas kasih sayang Allah dan segala kenikmatan yang dianugerahkan kepada kita tanpa kita sedar akan kenikmatan itu.Alpanya wahai hati bernama manusia

.Adakah ibadat kita mencukupi untuk membalas segalanya? Fikir-fikirkanlah kerana kita dianugerahkan sebuah alat pemikiran yang disertai dengan akal.Peringatan buat diri saya juga.

Rasailah keindahan mencintai Al-Khalik kita iaitu Allah S.W.T yang mana cinta kita akan terbalas tanpa timbul perasaan ragu-ragu dan rasailah kemanisan bercinta kerana Allah yang mana percintaan ini membawa kita ke jalan redhaNya dan menambahkan saham kita di sana.

Ya Allah, satukan hati-hati kami di bawah lembayung cinta Mu!





Sunday 18 April 2010

Di Sebalik Doa Rabitah (وراء دعاء الرابطة)

بسم الله الرحمن الرحيم


Tanpa Ukhuwwah, hancurlah Islam dan perpaduannya,
Tanpa Ukhuwwah, berpecahlah sesebuah keluarga itu,
Tanpa Ukhuwwah, terputuslah hubungan persaudaraan,
dan Ukhuwwah di jalan Allah membawa nikmat ketenangan.

Kita berhidup di dunia ini dengan membawa satu hati yang dahagakan kasih dan sayang, yang mendambakan ihsan dan simpati, yang mengharapkan rahmat Allah dan hidup dalam ketenteraman dan ketenangan.Hidup tanpa pemberi semangat dan pencurah kasih dan cinta, menenggelamkan insan di dalam lautan kemurungan dan keputusasaan.Jelaslah kita bahawa pentingnya hidup bermasyarakat dan saling kasih mengasihi, tetapi tanpa tujuan yang jelas dalam menjalinkan ukhuwwah, ia boleh mengheret kita ke arah keburukan.

Apakah hadaf kita atau tujuan kita dalam berkasih sayang?
Jawapannya boleh kita teliti di dalam Doa Rabitah yang sentiasa kita amalkan ketika membaca Al Mathurat sebanyak dua kali sehari itu.Sesungguhnya doa ini amat berkait rapat dengan hubungan hati sesama insan.

اللهم اِنّكَ تَعْلَم اَنّ هَذِهِ القُلُوبَ

قَدِ اجْتَمَعَتْ عَلَى مَحَبَّتِكَ

وَالْتَقَتْ عَلَى طَاعَتِكَ

وَتَوَحَّدَتْ عَلَى دَعْوَتِك

وتَعَاهَدَت على نُصْرَةِ شَرِيعَتِكَ

فَوَثِّقِ اللهمَ رَابِطَتَهَا

وَاَدِمْ وُدَّهَا وَاهْدِهَا سُبُلَهَا

وَامْلَئَهَا بِنُوْرِكَ الَّذِي لا يَخْبُو

وَاشْرَحْ صُدُورَهَا بِفَيْضِ الاِيمَانِ بِكَ

وَجَمِيلِ التَوَكُّلِ عَلَيْكَ

وَاحْيِهَا اللهم عَلَى مَعْرِفَتِك

وَاَمِتْهَا عَلَى الشَهَادَةِ فِي سَبِيْلِكَ

اِنَّكَ نِعْمَ المَوْلَى وَنِعْمَ النَصِيْرِِ




Monday 5 April 2010

'Ibadur Rahman


بسم الله الرحمن الرحيم


Maha Suci Allah yang telah mewahyukan Al Quran menjadi mukjizat terbesar buat Muslim seluruh alam.Alhamdulillah pada cuti Musim Bunga lepas, kami sempat menyelitkan satu usrah dalam kesibukan program-program persatuan hampir bermula.Usrah kami diserikan lagi dengan kehadiran 3 orang sahabat dari Plymouth.Jazakunnallahu khaira jaza’ =D

Salah satu pengisian yang kami dapat pada hari itu ialah Ciri-ciri Orang yang Beriman dari penghayatan Surah Al Furqan Ayat 61-77. InsyaAllah akan dikongsikan bersama.


أعوذ بالله من الشيطان الرجيم


63. Adapun hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih (عباد الرحمن) itu adalah orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang bodoh menyapa mereka (dengankata-kata yang menghina), mereka mengucapkan “Salam”,


- Dari sini kita boleh menafsirkan (عباد الرحمن ) yang Allah maksudkan disini adalah orang-orang yang beriman.Di antara Ciri-ciri ‘Ibadur Rahman :

1. Rendah hati : Dalam kata lain adalah orang yang Tawaddu’



2. Sabar : Sabar dalam menghadapi cacian dan hinaan orang kafir dan orang-orang yang mengeluarkan kata-kata yang mampu menyakitkan hati orang.


64. dan orang-orang yang menghabiskan waktu malam untuk beribadah kepada Tuhan mereka dengan bersujud dan berdiri.


3. Sentiasa menghidupkan malam : Qiyamullail iaitu Solat Tahajjud dan diringi dengan solat-solat sunat yang lain.



65. dan orang-orang yang berkata, “ Ya Tuhan kami, jauhkanlah azab Jahanam dari kami, kerana sesungguhnya azabnya itu membuat kebinasaan yang kekal,”


4. Takut akan seksaan Allah dan sentiasa mengingati mati.



67. Dan (termasuk hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih) orang-orang yang bila menginfakkan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, diantara keduanya secara wajar,


5. Menginfakkan harta : di jalan yang betul, samaada di jalan Allah ataupun kepada faqir miskin dan bersederhana dalam menginfakkan harta.



68. dan orang-orang yang tidak mempersekutukan Allah dengan sembahan lain dan tidak membunuh orang yang diharamkan Allah kecuali dengan (alasan) yang benar dan tidak berzina; dan barangsiapa melakukan demikian itu, niscaya dia mendapat hukuman yang berat,


6. Tidak mensyirikkan Allah : Syirik terbahagi kepada dua iaitu Syirik Jali (جلي)bermaksud menzahirkan kesyirikannya secara terang-terangan.Manakala yang kedua ialah Syirik Khafi
( خفي) yang mana kesyirikannya tidak disedari oleh orang sekelilingnya malah kadang-kadang dia sendiri juga tidak sedar akan kesyirikannya.Sesungguhnya Syirik Khafi ini amat bahaya kerana dalam tidak sedar kita telah mempersekutukan Allah.


7. Tidak membunuh orang sesuka hati dan tanpa sebab, dalam kata lain mereka hanya melakukan hukuman bunuh terhadap orang-orang yang telah digariskan Allah sahaja seperti orang murtad yang tidak mahu kembali kepada Islam walaupun telah dinasihati.


8. Menjauhkan diri daripada zina : Sebagaimana yang ditekankan di dalam Surah Israa’ Ayat 32 yang bermaksud, “ Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan yang keji, dan suatu jalan yang buruk.”


71. Dan barangsiapa bertaubat dan mengerjakan kebajikan, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya.


9. Apabila mereka bertaubat, mereka tidak mengulangi kesalahan yang telah mereka lakukan.


72. Dan orang-orang yang tidak memberi kesaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka berlalu dengan menjaga kehormatan dirinya,


10. Tidak memberi kesaksian palsu : Tidak berbohong dan bercakap benar.



11. Menjauhkan diri dari maksiat : Menjauhkan diri dari apa-apa sahaja yang boleh mempengaruhi mereka dengan perkara maksiat demi menjaga kehormatan diri mereka.


73. dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidak bersikap sebagai orang-orang yang tuli dan buta,


12. Senang menerima peringatan dan nasihat.


74. Dan orang-orang yang berkata, “Ya Tuhan kami,anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”



13. Mereka ialah orang yang sentiasa berdoa supaya mendapat pasangan dan keturunan yang baik seperti doa dia atas.Doa di atas amat sesuai untuk dipraktiskan selepas setiap solat.

InsyaAllah kita cuba sedikit demi sedikit menggantikan perkataan ‘mereka’ kepada ‘kita@saya’. Semoga kita tergolong di dalam kalangan orang-orang yang dipanggil ‘IBADUR RAHMAN.


Jazakillah Lily! =D

Sunday 4 April 2010

Di antara Solat dan Sembahyang



Tercatat di dalam kitab PEDOMAN SHALAT oleh Prof. Dr. T.M. Hasbi Ash-Shiddieqy, mukasurat 69, di bawah tajuk: 23. SEBAB DINAMAI SHALAT, ada menyatakan seperti berikut:-

Hikmah dan sebab dinamai ‘ibadat yang penting terkenal ini dengan nama shalat, adalah kerana mengingat bahwa di dalam shalat itu terdapat “tawajjuh” (usaha berhadap diri pada Allah) dan “do’a” (seruan memohonkan hajat dan ampunan kepada Allah s.w.t.)

Mengingat hal ini amat utamalah kita memakai kata shalat, jangan memakai terjemahannya = sembahyang. Apalagi apabila diingat bahwa kata sembahyang itu berasal dari bahasa Sankrit, yang bererti menyembah dewa.

Dalam cerita-cerita Hindu kita mungkin pernah mendengar perkataan ‘Yang’ / ‘Iyang’, seperti “berIyang-Iyang” atau “Sang Yang”. Jadi, berkemungkinan besar ‘Yang’ / ‘Iyang’ itu adalah nama dewa yang mereka sembah. Dalam sejarah orang Melayu sebelum Islam datang adalah berugama Hindu. Mereka kemungkinan menggunakan perkatan sembah Iyang atau sembah Yang yang bererti sembah dewa yang bernama Yang / Iyang.


Atau mungkin ‘Yang’ / ‘Iyang’ itu bererti ‘tuhan’ yang dimaksudkan “yang pencipta dan yang patut disembah”. Ini memberi erti bahawa pengenut ugama Hindu menganggap dewa itu adalah Iyang / Tuhan mereka. Dan bagi kita orang Islam Tuhan / Iyang (jika Iyang bererti tuhan) sebenarnya adalah dan hanyalah Allah s.w.t.


Jika begitu sembahyang (asalnya sembah Yang / Iyang) itu boleh bererti sembah tuhan. Jadi ini pun bagi saya masih belum tepat digunakan. Coba, mithalnya, ‘Yang’ itu ditukar kepada perkataan ‘tuhan’ dalam kalimat “sembahyang Fardhu Dzohor”, maka ia akan berbunyi “sembah tuhan Fardhu Dzohor”. Ini boleh menyerongkan dan merosakkan ‘aqidah bila disebutkan untuk shalat-shalat lain yang terdapat bermacam-macam dalam seharian kita, kerana seolah-olah pengertiannya bahawa banyak tuhan yang hendak disembah dalam seharian….. na’uuzubillaa-hi min zaalik……..


Dari itu nasihat saya untuk diri saya dan untuk saudara seagama yang dikasihi sekelian adalah lebih baiknya, bagi menolak kemungkinan- kemungkinan tersebut, kita membiasakan menggunakan perkataan ‘sholat’ dari mengunakan perkataan ‘sembahyang’, tambahan lagi tidak susah rasanya untuk kita menyebutkan dan mempergunakan perkataan ‘sholat’ itu.


Sekian, harap dapat dibetulkan jika terdapat sebarang kesalahan atau ketergelinciran pendapat, kerana jika ianya benar maka itu adalah hidayah dari Allah, dan jika salah itu adalah kelemahan saya yang coba dengan ikhlas untuk menyebarkan dan menyampaikan sekadarnya ilmu yang ada.


Wallaa-hu a’lam………

*Dipetik dari pmmmgroups

Sunday 7 February 2010

Mak, kenapa saya dilahirkan?

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


Kenapa aku dilahirkan di dunia ini?

"Mak, kenapa saya dilahirkan?"
Pernahkah kita menanya soalan sebegini kepada ibu kita?Agaknya apakah jawapan ibu kita?Sila cuba tanya ibu anda.

Mungkin ibu kita akan menjawab ,

Jawapan dari aspek cinta:
"Kamu lahir kerana bukti cinta mak dan ayah, sayang
."
Jawapan dari
aspek saintifik:
"Kamu lahir kerana kamu adalah sperma yang berjaya melepaskan nukelusnya ke dalam ovum."
Jawapan dari aspek agama:
"Kerana Allah mencipta kamu."

Matlamat hidup hakiki

Ya, semua jawapan di atas adalah benar, betul dan tepat. Kita lahirkan kerana cinta.Kita dilahirkan kerana kita adalah johan dari sperma-sperma yang lain.

Siapakah yang menciptakan cinta?
ALLAH!
Siapakah yang menciptakan sperma?
ALLAH!


Kerana kamu adalah roh yang terpilih yang mana dipilih untuk menyembah dan
dan menjadi hamba pada Tuhan yang Esa iaitu Allah yang Maha Pencipta

Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.
(Surah Az-Zariyat 51:56)


Pernahkah kita terfikir apa matlamat hidup kita di dunia ini?
Setiap insan di muka bumi ini ada matlamatnya. Seorang miskin ingin menjadi lebih kaya. Seorang kaya ingin menjadi jutawan. Seorang pelajar ingin berjaya. Seorang ibu ingin melihat anaknya membesar dengan baik. Hatta seorang perompak ingin merompak bermillion-million wang.
Tetapi bayangkan, selepas kita mendapat semua yang kita hajati sehingga tiada lagi perkara yang kita ingini, bukankah hati kita akan diselubungi kebosanan dan kekosongan?

Jika kita melihat kitaran hidup seorang
non-muslim:
Ketika kecil ingin berjaya dalam pelajaran dan memasuki universiti yang terbaik di dunia.
Apabila masuk ke alam pekerjaan mereka cuba menjawat jawatan tertinggi.
Setelah berkahwin mereka mengharapkan perkahwinan mereka berjaya.
Kemudian mengharapkan anak mereka berjaya dalam hidup dan mempunyai cucu sehinggalah sampai satu saat, usia mereka telah memasuki 60 an.Semua impiannya di dunia ini telah dikecapi sehingga tiada apa lagi yang dihajatinya.Hidup mereka memasuki zon kebosanan dan kesunyian.
Tetapi hayat seorang muslim tidak akan memasuki zon ini kerana mereka mempunyai matlamat hidup yang hakiki iaitu cinta Allah dan syurgaNya.
Selepas semua hajat dunianya telah dikecapi sekalipun tetapi mereka masih mempunyai matlamat akhirat yang tidak akan terputus ditengah jalan sehinggalah nyawa mereka ditarik.

Wahai Tuhanku,
Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Engkau;
Engkau yang menciptakanku dan aku hambaMu,
dan aku berada dalam perjanjian dengan Mu,
dan ikrar kepada Mu yang aku akan laksanakan dengan segala kemampuanku.
Dan aku berlindung kepadaMU Ya Allah dari segala kejahatan yang telah kulakukan,
aku mengakui nikmat Mu kepadaku Ya Allah,
dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah aku,
kerana tidak ada yang boleh mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau.


Islam akar Rohani, Rasional siraman Fikrah, Ketenangan baja Kekuatan



Sunday 15 November 2009

Apakah itu Bahagia?



بسم الله الرحمن الرحيم


Sumber dari Penulis Genta Rasa:

Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, maka sudah tentu dia tidak siuman lagi kerana bahagia itu merupakan fitrah semula jadi setiap manusia. Tidak ada manusia yang tidak inginkannya. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.
  • Bahagia itu relatif?

Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.

Apakah erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu “moving target” yang tidak spesifik ertinya.

Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.

  • Sumber dalaman atau luaran?

Sebelum mendapat jawapan tentang erti kebahagiaan yang sebenar, mesti dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar (inside-out)?

Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama dan kelulusan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka secara automatik bahagialah mereka.

Atas keyakinan itu ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa dan lain-lain lagi. Kita tidak bahaskan mereka yang miskin, hodoh, tidak popular dan bodoh, lalu gagal merasakan bahagia tetapi mari kita tinjau apakah hidup para hartawan, rupawan, bangsawan, kenamaan dan cendekiawan itu bahagia?

  • Realiti hidup jutawan, rupawan dan selebriti.

Realitinya, sudah menjadi “rules of life” (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup adalah satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira kedudukan, harta dan pangkatnya. Firman Allah:
“Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya.” Al Mulk.

Si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi mana mungkin dia mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang berlaku kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang berbilion dollar. Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada cercaan. Madonna, Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah dikutuk akibat kelakuan buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang tragis dan menyedihkan sekali.

John Lenon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizabeth Taylor pula sedang membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan badannya. Itu belum dikira lagi nasib malang yang menimpa negarawan dan bangsawan tersohor seperti Al Malik Farouk (Masir), Shah Iran (Iran), Ferdinand Marcos (Filipina), Louis XVI (Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain lagi. Tegasnya, kesakitan, cercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan dalam perlumbaan mencari kebahagiaan.

  • Bukti hilangnya bahagia.

Apa buktinya, mereka hilang bahagia? Tidak payah kita berhujah menggunakan Al Quran dan Al Hadis, melalui paparan media massa sahaja sudah cukup menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki segala-galanya itu. Aneh, apabila selebriti dari Hollywood, yakni mereka yang memiliki rupa yang cantik, harta yang berbilion dolar, nama yang tersohor tetapi dilanda pelbagai masalah kronik. Senarai nama yang berkenaan cukup panjang.

Mereka yang terlibat dengan arak, rumah tangga cerai berai, dadah, jenayah, sakit jiwa dan bunuh diri ini sudah tentu tidak bahagia. Jika mereka bahagia dengan nama, harta dan rupa yang dimiliki tentulah mereka tidak akan terlibat dengan semua kekacauan jiwa dan kecelaruan peribadi itu. Tentu ada sesuatu yang “hilang” di tengah lambakan harta, rupa yang cantik dan nama yang popular itu.

  • Ujian hidup punca hilang bahagia?

Mari kita lihat persoalan ini lebih dekat. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!

Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.

Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.

  • Metafora air limau dan luka di tangan

Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.

Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.

Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor “kesihatan” hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar – soal hati.

  • Inilah erti bahagia

Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Al Ra’du 28.

Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:
” Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (riwayat Bukhari Muslim)

Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
” Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.

Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara “kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara “auto pilot”.

Wednesday 13 May 2009

Salah ke saya menutup aurat??

بسم الله الرحمن الرحيم


"Mama mia!Why are you wearing like this?Don't you know its a beach.Why are you wearing so close like this?"

Dia menyoalku dalam Bahasa Inggeris dengan tergagap-gagap dan suara yang tinggi.Aku tidak menyangka keputusan untuk bersiar-siar di pantai Monterosso iaitu salah satu pantai
Cinque Terre ini telah membuatkan aku diaju dengan soalan sebegini.Memang satu perkara yang pelik melihat seorang perempuan berpakaian labuh dan menutup segalanya di pantai seperti ini dengan musim panas yang hampir tiba jika hendak dibandingkan dengan wanita-wanita yang sedang berjemur di situ.

Aku sedikit terpana.Mata ini hanya memandang lelaki Italy itu.

Mulut hampir bersuara ' This our obligation in our religion'.

Ingin menerangkan kepada mereka apakah tuntutan dalam agama kami,Islam.Ingin memahamkan mereka kewajiban kami bukanlah terhad kepada tempat tertentu sahaja.
Tetapi aku telah tertinggal jauh dari Cik Na aku.Aku takut dia akan tercari-cari aku lalu senyum ditarik buat lelaki tersebut sambil kaki dilangkah menuju ke arah Cik Na.

Tujuan tadi kerana ingin mengambil sekeping gambar pokok dihadapanku untuk diabadikan di dalam kamera ini.Aku yang baru selesai menangkap gambar pokok itu tiba-tiba dikejutkan dengan soalan lelaki ini yang baru sahaja keluar dari keretanya di parking sebelahku itu.


Pokok inilah yang diambil ketika
peristiwa itu berlaku.

Perasaan menyesal hadir sebaik sahaja kakiku melangkah meninggalkan dia.Aku telah terlepas satu peluang yang sangat besar untuk memahamkan mereka apa itu Islam yang sering dianggap satu agama tertutup dan menyekat kebebasan umatnya.

Pada hari sebelumnya aku melangkah ke Monterosso iaitu di Pisa, aku juga disoal tentang pemakaian aku terutama hijab dikepala aku.

"Pourquoi(Why)?" tanyanya sambil mengarahkan jarinya ke arah kepalanya.Aku faham dia memaksudkan tudung di kepala aku.
Dengan keadaan bahasa perancisku ditahap asas lagi ini, aku hanya mampu menjawab

" Obligation."
" L'obligation à religion (Obligation of religion) ?"
" Oui (Yes)." Aku menjawab sambil tersenyum.Lelaki tua itu hanya terangguk-angguk dan bertukar kepada tajuk lain.

Aku tidak mampu untuk menerangkan kepadanya dengan perantaraan bahasaku yang lemah.

Soalan inilah yang selalu berputar didalam fikiran mereka yang tidak memahami dan mengkaji apakah itu Islam dan mengganggap Islam adalah agama ketinggalan zaman dan menyekat kebebasan umatnya terutama wanita.

Peristiwa demi peristiwa yang dialami oleh diriku ini membuatkan aku terfikir.Inilah hakikat apabila kita keluar ke dunia luar.Inilah FAQ yang akan dilontarkan kepada kita terutama kaum hawa yang paling menyerlah ciri-ciri keislamannya.

Bukanlah sesuatu yang asing jika non-muslim memandang jelek kepada pemakaian seorang muslim itu tetapi menjadi sesuatu yang amat pelik apabila seorang muslim itu menghina pemakaian saudaranya sendiri.

Seorang muslim yang terkesan dari penjajahan pemikiran daripada barat samada media masa atau majalah-majalah membuatkan mereka lebih cenderung mendidik diri ke arah kebaratan dari ke arah seorang muslim mukmin soleh.

"Kenapa kita lebih gembira dikatakan seorang yang rock daripada dikatakan seorang yang warak?Sebenarnya inilah salah satu kesan dari penjajahan pemikiran yang dibawa oleh barat.Kenapa kita tidak suka dikatakan warak sedangkan itu adalah tanda kita ialah seorang yang taat kepada Allah?Kita tidak kufur,kita solat,kita puasa.Adakah menjadi seorang yang lalai itu lebih membanggakan dari ketaatan kepada Allah?"

Kata-kata sahabat seperjuanganku di dalam tazkirahnya di 'flashback'.Ya, aku setuju dengan kata-katanya.Kita lebih suka digelar orang yang gila-gila,rock dan lain-lain tetapi kita menjadi anti bila dikatakan warak.Berbahagialah kamu dengan ucapan itu kerana itu adalah satu doa buat dirimu yang membawamu ke arah jalan yang lebih lurus.

Di Morocco, hanya terdapat pelajar pengkhususan Pengajian Islam dan Pengajian Bahasa Arab.Pemakaian kami dengan bertudung labuh disini membuatkan kami lebih dihormati oleh sebahagian besar kaum masyarakat disini.Satu biah(suasana) yang positif.Kami gembira dengan cara pemakaian kami yang dituntut Islam ini sehingga satu saat kami terasa takut untuk menghadapi suasana di Malaysia.Di sana,puratanya memandang jelek atau 'not up to date' dengan pemakaian kami.

Walaupun begitu, kami pernah disoal oleh seorang pemandu teksi di sini.Memandangkan suasana yang amat panas sekarang, dia pelik dengan pemakaian kami.

"Kamu tak panas?"
"Panas", kami menjawab pendek.
"Kenapa kamu pakai tudung besar macam tu.Kamu botak ke?" Soalnya dengan nada bergurau.
"Kami menutup aurat.Ini tuntutan dalam Islam.Maktub dalam Al-Quran", kami cuba menjawab dengan tenang walaupun hakikatnya kami tidak senang dengan gurauannya.
"Tapi bukan sunnah pun." Kami menggelengkan kepala dengan kejahilannya.
"Tak.Ada hadis yang menuntut supaya menutup aurat." Kami cuba mempertahankan kebenaran ini dan akhirnya dia mengalah apabila kami sampai ke destinasi kami.

Semoga Allah memberikan hidayah kepadanya.

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." [Surah An-Nur:31}

Sabda Rasullulah (S.A.W):

(يا أسمأ, ان الامرأة اذا بلغت المحيض, لم يصلح أن يرى منها الا هذا وهذا, وأشار الى وجهه وكفيه)

Maksudnya:( Wahai Asma' Sesungguhnya apabila seseorang perempuan telah baligh, Tidak boleh diperlihatkan kecuali ini dan ini. Sambil mengisyaratkan kearah muka dan tapak tangan.)


Terdapat satu kisah yang diceritakan oleh sahabatku dimana seorang remaja yang telah mendapat hidayah untuk memakai hijab tetapi banyak cabaran yang harus dia tempuhi.Ibunya yang tidak memberikan sokongan malah tidak percaya dia mampu bertahan dengan imej bertudung.Rakan-rakan yang menjauhi.

"Kenapa awak bertudung?Adakah awak telah berzina dan memakai tudung untuk bertaubat?"
Soalan rakan-rakan yang tidak mengerti apa maknanya menutup aurat.

Semoga dia sabar menghadapi ujian ini dan Allah mempermudahkan jalannya ke arah kebenaran.

Kisah realiti hidup yang sedang dimainkan wataknya oleh manusia di pentas dunia ini.




Islam akar Rohani, Rasional siraman Fikrah, Ketenangan baja Kekuatan